JANUARI 2025

ESG Pacu Pembangunan Lestari Sarawak


KUCHING, 22 Jan: Sarawak terus muncul sebagai destinasi utama dalam pelaburan hijau dan pembangunan lestari, dengan penekanan terhadap faktor Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang kini menjadi asas penting dalam strategi pelaburan global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata amalan mesra alam adalah keperluan utama untuk memastikan daya tahan perniagaan dalam menghadapi era ekonomi hijau.

“Industri mesti mengamalkan amalan rendah karbon dan teknologi sifar sisa untuk membuka peluang ekonomi dan memastikan kejayaan jangka panjang.” Katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah PSEA ke-11, di Kuching, pada Rabu.

Di samping itu, Abang Johari berkata menerusi Pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2024 menjadi tonggak penting bagi Sarawak dalam mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Tambah Abang Johari lagi, dengan dasar-dasar progresif dan sokongan daripada pelbagai pihak, Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam usaha menangani perubahan iklim sambil merangsang pertumbuhan ekonomi hijau.

Hadir sama adalah Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas,  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan,  dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Abu Bakar bin Marzuki.